20 penggiat seni terima pengiktirafan, Yusof Haslam bergelar doktor falsafah

Posted on

Datuk Dr. Yusof Haslam bersama Pengerusi Gabungan Industri Kandungan Kreatif Malaysia (CCIG), Datuk Jurey Latiff Rosli (dua dari kanan) dan Datuk Ahamd Tarmimi Serigar dan Othman Hafsham.

KUALA LUMPUR: Sumbangan dalam pembangunan dunia perfileman sejak 46 tahun lalu memberi kenangan manis buat penerbit dan pengarah terkenal, Datuk Yusof Haslam apabila beliau menerima Ijazah Kehormat Doktor Falsafah Sastera Seni dalam bidang perfileman pada Ahad.

Presiden Gabungan Industri Kandungan Kreatif Malaysia (CCIG), Datuk Jurey Latiff Rosli berkata, pentauliahan itu diberikan oleh Universiti Terbuka Malaysia (OUM) pada majlis konvokesyen yang diadakan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) dekat sini.

“Penganugerahan ini sangat bererti kerana ia adalah daripada sebuah pusat pengajian pendidikan tinggi kepada industri seni dan sumbangan besar Yusof dalam bidang seni akhirnya mendapat pengiktirafan.

“Pemilihan ini sudah tentu berdasarkan pengalaman dan sumbangan besar Yusof terhadap industri perfileman tempatan terutamanya,” katanya.

Dalam pada itu, Jurey berkata, Yusof dan dirinya turut menerima Sijil Sarjana Profesional dalam Industri Kreatif (Penerbit Filem).

20 penggiat seni yang menerima pengiktirafan pada Majlis Konvokesyen Universiti Terbuka Malaysia (OUM) pada Ahad.

Selain itu, pada majlis sama, 20 lagi penggiat seni turut mendapat pentauliahan termasuk pelakon Datuk Ahmad Tarmimi Siregar dan Fauziah Nawi menerima Sijil Sarjana Profesional dalam Industri Seni (Lakonan) manakala Presiden Persatuan Seniman Malaysia (Seniman), Zed Zaidi menerima Sijil Lanjutan Sarjana Profesional dalam bidang sama.

Nama lain yang turut menerima pengiktirafan adalah Othman Hafsham, Mior Hashim Manap menerusi Sijil Sarjana Profesional dalam Industri Seni (Pengarah Filem).

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *