Aktivis teater Khalid Salleh meninggal dunia

Posted on

Khalid Salleh meninggal dunia pada Isnin.

DIKEMAS KINI

PETALING JAYA: Pelakon dan aktivis teater, Khalid Salleh meninggal dunia pada Isnin.

Allahyarham dilaporkan menghembuskan nafas terakhir pada usia 70 tahun di Pusat Perubatan Ampang Puteri dekat sini kira-kira pukul 3.20 petang.

Anak Allahyarham, Israr Khalid memberitahu bapanya mengalami kesukaran bernafas sejak dua hari lalu dan arwah dikejarkan ke hospital pagi Isnin sebelum dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital berkenaan.

Kata Israr, sejak tahun lalu, bapanya sukar untuk membuang air kecil dan terlantar di katil sejak Mei lepas.

“Mula-mula dulu suspek prostat bengkak dan tadi doktor beritahu mungkin tibi dan kuman dah merebak sehingga jantung, paru-paru dan tulang.

Khalid bersama pengarah filem Jogho, U-Wei Shaari (tengah) dan Normah Damanhuri pada acara Festival Filem Malaysia 1999.

“Bagaimanapun Allahyarham meninggal dunia sekitar pukul tiga petang tadi,” katanya yang memberitahu Allahyarham akan dikebumikan sebelum solat Maghrib, pada Isnin di Tanah Perkuburan Islam, Taman Kosas, Ampang.

Pada Januari lalu, nama Khalid menjadi sebutan apabila gambarnya yang menunjukkan dirinya dalam keadaan uzur menjadi tular di media sosial.

Bagaimanapun Khalid ketika itu memaklumkan dirinya dalam keadaan baik dan menyifatkan sakit dialaminya adalah perkara biasa bagi warga emas sepertinya.

Sepanjang kariernya dalam bidang seni, Khalid pernah menerima trofi Pelakon Lelaki Terbaik di Festival Filem Asia Pasifik ke-43 di Taipei, Taiwan pada 1998 menerusi filem Jogho.

Allahyarham adalah pelakon lelaki kedua menerima trofi tersebut selepas Seniman Allayharham Tan Sri P. Ramlee menerusi filem Anakku Sazali pada 1957 di Tokyo, Jepun.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *