Anak jawab tohmahan buruk seniwati Sarimah

Posted on

PERCUBAAN Shahray Zulkifli untuk menghasilkan buku sulungnya disulami pelbagai rintangan hinggakan saat sebelum ia dilancarkan masih ada pihak yang cuba menggagalkan penerbitan naskhah melibatkan seniwati negara, Datuk Sarimah Ahmad.

Itulah antara liku-liku dugaan yang dihadapi anak seniwati itu ketika mahu merealisasikan impian untuk menerbitkan nukilan berjudul – Mak, Inilah Ceritaku…

Menurut Shahray, 49, sepanjang enam bulan proses menghasilkan buku itu, dia berdepan pelbagai cabaran termasuk difitnah kononnya karya berkenaan bakal memburukkan nama pelakon pujaan ramai itu.

“Memang saya hampir putus asa, tetapi memikirkan naskhah ini antara lain untuk menjawab tuduhan liar terhadap mak, maka saya kuatkan semangat bagi memastikan ia diterbitkan.

Foto Sarimah Ahmad yang dirakamkan pada 2011

“Lebih-lebih lagi ada pihak cuba menghalang, namun sebelum pelancaran buku ini minggu lalu keadaan beransur reda dan saya lega kerana mak memberikan restu serta sokongan.

“Alhamdulillah, mak memahami niat saya,” kataa peguam syarie yang telah 18 tahun bertugas di Brunei Darulsalam ini kepada mStar Online.

Kata Shahray lagi, pertemuannya dengan seniwati itu baru-baru ini ternyata memberi kelegaan apabila kekusutan dan kegelisahannya selama ini hilang sama sekali.

“Buku ini mengenai rindu dan kasih saya terhadap mak, bahkan tidak ada sedikit pun yang memburukkannya, malahan membela beliau.

“Diharap ia bermanfaat kepada semua yang membacanya,” katanya yang sebak ketika berucap pada majlis pelancaran itu apabila mengenangkan pengalaman menulis buku berkenaan.

Sarimah di mata Shahray

Menerusi Mak, Inilah Ceritaku…, dikisahkan mengenai pelakon hebat dalam filem malar segar seperti Madu Tiga dan Ibu Mertuaku yang tidak pernah diketahui umum.

Anak bongsu hasil perkahwinan pertama Sarimah dengan Allahyarham Datuk Zulkifli Ahmad, Shahray menggarapkan perjalanan hidup seniwati itu.

Naskhah itu bukan sahaja mengenai kehidupan Sarimah, malah ia turut menjawab segala tohman negatif dan telahan tidak benar mengenai figura hebat yang kini mencecah usia 76 tahun itu.

Antara kisah yang paling mendapat perhatian dalam buku itu pastinya kemelut rumah tangga serta perceraian Sarimah dengan Zulkifli yang turut memberi kesan terhadap kehidupan zaman kanak-kanak penulis buku tersebut.

Salah satu bahagian buku tersebut menceritakan mengenai kelahiran Shahray sewaktu negara sedang bergolak dek rusuhan kaum sekitar Mei 1969.

Selain berperang nyawa kerana kelahiran songsang Shahray, Sarimah turut berperang dengan emosi kerana kemelut rumah tangganya yang sedang meruncing pada waktu itu.

Namun, ketabahan Sarimah ternyata memberi inspirasi kepada anaknya dalam penghasilan naskah setebal 153 muka surat ini.

Biarpun kelihatan hebat di kaca televisyen pada waktu itu, Sarimah tidak terlepas menghadapi ujian hidup yang mungkin tidak mampu untuk ditempuhi insan-insan lain.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *