Aznil dan anak bongsu sertai Festival Kanak-Kanak Lola Baba

Posted on

Aznil bersama anaknya, Firdaus Hariz

BANGI: Pengacara Datuk Aznil Nawawi bakal berganding bahu dengan anak bongsunya, Firdaus Hariz Aznil, 10 menerusi festival kanak-kanak terbesar di Malaysia pada Oktober depan.

Aznil berkata, menerusi acara dikenali sebagai Festival Kanak-Kanak Lola Baba itu, beliau dilantik sebagai duta rasmi manakala anaknya sebagai presiden berkenaan.

“Jujurnya ini adalah julung kalinya saya bersetuju menjadi duta bagi sebuah festival walaupun sebelum ini pernah beberapa kali tawaran diberikan.

“Saya bersetuju kerana saya memang mempunyai hubugan serasi dengan kanak-kanak dan golongan ini sentiasa berada dekat di hati saya.

“Tambah istimewa, anak bongsu saya juga terlibat sama pada acara ini walaupun pada awalnya saya tidak tahu penganjur melantiknya sebagai presiden Kelab Kanak-Kanak Lola Baba,” ujarnya.

Aznil ditemui pada sidang media pelancaran program itu dan pelantikannya sebagak duta rasmi Festival Kanak-Kanak Lola Baba pada Khamis.

Festival itu akan diadakan pada 26 hingga 28 Oktober depan di Tapak Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) di sini.

Dijangka seramai 500,000 pengunjung akan menghadiri festival selama tiga hari itu.

Dalam pada itu, Aznil berkata, menerusi festival itu nanti beliau akan terlibat secara langsung menerusi beberapa aktiviti diadakan termasuk memberi bimbingan inspirasi serta pertandingan karaoke iaitu Lalak Land bersama penyanyi sensasi, Ismail Izzani.

Jelas Aznil, selain itu, terdapat pelbagai aktiviti lain disediakan mengikut empat zon berbeza yang penuh pelbagai pembelajaran dalam keseronokan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *