“Bencana di Indonesia bukan kerana dosa” – Yuka Kharisma kesal kenyataan pendakwah tempatan

Posted on

PENYANYI kelahiran Indonesia Yuka Kharisma mengakui kurang bersetuju dengan pendapat seorang pendakwah tempatan yang membuat kenyataan tidak sensitif berhubung bencana alam di negaranya, baru-baru ini.

Yuka, 31, yang sudah hampir lima tahun menetap di Malaysia berkata, apa yang berlaku merupakan satu ujian dan punca di sebaliknya merupakan rahsia Allah.

“Itu adalah ujian, bukan orang di Palu (Sulawesi) sahaja malah dalam hidup kita sehari-hari pun akan diuji dalam pelbagai bentuk.

“Dari sudut geografi pun, negara Indonesia memang banyak gunung berapi dan selalu dilanda gempa bumi, janganlah cakap ia berlaku kerana dosa.

“Pada saya, untuk berdakwah itu perlu berhati-hati dalam memilih subjek. Sepatutnya tunjukkan rasa simpati, kat sana pun ramai orang Islam,” ujarnya kepada mStar Online.

Yuka kini giat menjalankan promosi single baharunya yang berjudul Mati Rasa.

Biarpun tiada ahli keluarga dan kenalannya yang terlibat dalam bencana pada 28 September lalu, dia turut menzahirkan rasa simpati dan berharap semuanya akan kembali pulih seperti biasa.

Yuka diminta mengulas mengenai kenyataan seorang pendakwah tempatan yang baru-baru ini mengaitkan gejala maksiat dan dosa golongan Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender (LGBT) sebagai punca kejadian tersebut.

Dalam pada itu, Yuka kini giat mempromosikan single terbaharunya yang berjudul Mati Rasa dan ia sudah dimuat naik ke laman YouTube sekitar September lalu.

Tambah Yuka lagi, dia percaya impiannya untuk berdiri sebaris dengan nama-nama besar dalam industri di negara ini akan tercapai suatu hari nanti.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *