Cher jadi penyelamat ‘Mamma Mia! Here We Go Again’

Posted on

Filem ‘Mamma Mia! Here We Go Again’ tidak berupaya menjadi sebuah filem muzikal jukebox yang menghiburkan.

Filem: Mamma Mia! Here We Go Again

Pengarah: Ol Parker

Pelakon: Amanda Seyfried, Lily James, Pierce Brosnan, Colin Firth, Julie Walters, Stellan Skarsgard, Dominic Cooper, Cher dan Meryl Streep.

Genre: Komedi/Muzikal

Durasi: 115 minit

Pengedar: United International Pictures

Tarikh Tayangan: 19 Julai 2018

DALAM fikiran penulis, hanya ada satu faktor sahaja mengapa filem sekuel Mamma Mia! berjudul Mamma Mia! Here We Go Again yang mula ditayangkan minggu lalu diterbitkan.

Semuanya adalah kerana faktor keuntungan memandangkan filem pertama yang ditayangkan sedekad lalu telah mencatatkan kutipan pecah panggung sebanyak AS$615 juta (RM2.5 billion) di seluruh dunia.

Semua pihak termasuk Universal Pictures sendiri tidak menyangka filem yang diterbitkan dengan kos pembikinan sebanyak AS$52 juta (RM211 juta) itu berjaya mencatatkan keuntungan berlipat ganda sedemikian rupa.

Salah satu babak antara Sophie lakonan Amanda Seyfried (kiri) dan Donna (Meryl Streep) dalam Mamma Mia! Here We Go Again.

Tidak dinafikan juga, antara faktor kejayaan filem Mamma Mia! yang diadaptasi daripada pementasan muzikal dengan judul yang sama itu adalah kerana elemen nostalgia menerusi lagu-lagu popular dendangan kumpulan ABBA yang menjadi daya penarik.

Bukan itu sahaja, dengan menampilkan bintang legenda Hollywood yang juga bekas pemenang Oscar sebanyak tiga kali, Meryl Streep sebagai tunjang utama yang memerlukan beliau menyanyi dan menari juga antara sebab mengapa Mamma Mia! menjadi perhatian.

Pun begitu, di sebalik angka keuntungan yang sememangnya menguntungkan banyak pihak itu termasuk ABBA sendiri, Mamma Mia! tidak berupaya memenangi segelintir hati pengkritik, wartawan mahupun peminat filem amnya apabila ia mendapat kritikan bercampur-baur.

Penulis juga berpendapat filem pertama Mamma Mia! itu sekadar sebuah filem muzikal jukebox (filem muzikal yang mengangkat rangkaian lagu-lagu popular) yang sekadar biasa-biasa sahaja walaupun untaian lagu-lagu ABBA itu sebenarnya membuatkan penulis terus menontonnya hingga tamat.

Justeru, apabila Mamma Mia! Here We Go Again atau ringkasannya Mamma Mia! 2 dihasilkan, penulis berfikir tentang plot dan cerita yang mahu diketengahkan kali sambil menelah adakah ia akan sama seperti filem pertama ataupun menjadi lebih baik.

Bukan mudah untuk membuat jangkaan tentang filem sekuel kerana ada ketika ia tidak berupaya melepasi sasaran apabila filem pertama diterima baik. Namun, tanpa diduga kadang-kala filem sekuel mampu menjadi lebih baik daripada filem pertama atau setanding.

Aksi Cher (kanan) sebagai Ruby Sheridan dianggap sebagai penyelamat.

Penulis tidak menafikan bahawa idea untuk menceritakan semula kisah hidup Donna (lakonan Lily James) sewaktu zaman remajanya yang menjalinkan hubungan dengan tiga orang lelaki sehingga melahirkan Sophie (Amanda Seyfried) memang menarik.

Tetapi, ia bagaikan kurang impak kerana pelayaran cerita itu tidak menerbitkan rasa yang sepatutnya. Paling tidak pun untuk merasai penderitaan yang dilalui oleh Donna yang mendapat tahu lelaki dicintainya, Sam Carmichael (Jeremy Irvine) rupanya sudah menjadi tunangan orang.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *