Cukup rencah 4 Datuk bergabung dalam ‘Baik Punya Concert’

Posted on

Pementasan Baik Punya Concert 4D sedang berlangsung di Panggung Sari, Istana Budaya sehingga 28 Julai ini. Foto CHAN TAK KONG

CUKUP rencah cukup rasa. Itulah perkataan yang paling tepat untuk menggambarkan Baik Punya Concert 4D yang mula dipentaskan di Panggung Sari, Istana Budaya pada Khamis.

Menampilkan gandingan mantap empat Datuk iaitu Datuk Afdlin Shauki, Datuk Hans Issac, Datuk Awie dan Datuk AC Mizal, konsert yang berlangsung selama hampir tiga jam itu berlalu tanpa disedari.

Manakan tidak, penonton yang hadir pada malam pembukaan bagaikan terpaku dengan segala elemen yang dibawakan mereka.

Ia boleh diibaratkan seperti perjalanan penuh adrenalin bersulam emosi. Semuanya lengkap, dengan paduan vokal, rentak tari, komedi, air mata, semuanya ada.

Afdlin dan AC Mizal bermesra dengan penonton yang hadir.

Dibantu pula dengan sistem audio dan visual yang mantap, ia sekali gus menjadikan konsert itu setanding konsert bertaraf antarabangsa.

Selain menyanyikan seleksi lagu-lagu hit tempatan dan antarabangsa, selingan antara lagu pastinya yang paling mencuri tumpuan.

Seluruh panggung pecah perut bergelak ketawa menyaksikan lagak mereka berempat saling membuka aib masing-masing khususnya mengenai kisah-kisah yang menimpa mereka sepanjang bergelar anak seni.

Gandingan empat Datuk ini cukup rencah, cukup rasa. 

Yang paling teruk menjadi bahan pastinya Awie yang diberi jolokan artis mesra mahkamah.

Begitu juga dengan Hans, dari awal sehingga tamatnya konsert dia tidak henti-henti diusik soal jodoh memandangkan hanya dia yang masih bujang dalam kalangan mereka.

Bercerita mengenai lagu, selain mempersembahkan hits yang pernah menjadi siulan ramai seperti Fiona nyanyian asal 4U2C, Menaruh Harapan (Zaiton Sameon), mereka turut mendedangkan lagu Bollywood Bole Chudiyan dari filem Kabhi Kushi Kabhie Gam dan lagu Every Breath You Take nyanyian kumpulan The Police.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *