‘Didi & Friends’ anjur karnival rai kejayaan 1 bilion tontonan

Posted on

PETALING JAYA: Animasi Didi & Friends menerusi laman YouTube rasminya, ‘Didi & Friends – Lagu Kanak-Kanak’  mencatatkan jumlah tontonan sehingga 1 bilion, sekali gus menjadikannya animasi pra-sekolah pertama yang berjaya mencipta rekod di Malaysia.

Animasi ini turut memperlihatkan jumlah pengikut di YouTube sebanyak 1.2 juta.

Bagi meraikan kejayaan tersebut bersama para peminat, Digital Durian dengan kerjasama Astro bakal mengadakan sebuah karnival terbesar Didi & Friends iaitu ‘Karnival 1 Bilion Didi & Friends’, bertempat di Quill City Mall, Kuala Lumpur selama empat hari berturut-turut bermula pada 14 hingga 17 September 2018.

Ketua Pengarah Ekskutif Digital Durian, Sinan Ismail memberitahu pihaknya teruja untuk menganjurkan karnival itu dengan pelbagai aktiviti pentas dan interaktif serta pelbagai permainan baharu.

“Bukan sahaja permainan, kami turut menitikberatkan pada dekorasi karnival seperti mewujudkan rumah Didi, Nana, Jojo, Pulau Hokey Pokey dan banyak lagi supaya pengunjung yang hadir berasa seolah-olah berada di dunia Didi & Friends,” katanya.

Malah Sinan mendedahkan pihaknya akan membawakan Konsert Hora Horey Live 2019 dan Didi & Friends The Movie yang akan ditayangkan pada 2021.

Karnival Didi & Friends akan diadakan pada 14 hingga 17 September 2018.

“Didi & Friends juga telah dialih kepada tujuh bahasa iaitu Bahasa Indonesia, Bahasa Hindi, Bahasa Portugis, Bahasa Thailand dan terbaharu Bahasa Sepanyol, Bahasa Inggeris dan Bahasa Vietnam,” katanya.

Sementara itu, Naib Presiden Next Astro, Putri Yasmin Megat Zaharuddin pula memberitahu animasi itu telah mencipta pelbagai kejayaan sehingga meletakkan jenama Didi & Friends dalam kelasnya tersendiri.

“Saya percaya selepas ini lebih banyak lagi perkara yang akan diteroka oleh Digital Durian untuk terus mengangkat Didi & Friends dan tidak mustahil suatu hari nanti ia akan menjadi produk animasi anak tempatan disegani di peringkat global,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *