Dijangka makan masa lebih 3 jam, Dayangku Intan sudah sedia derma buah pinggang buat suami

Posted on

Dayangku Intan dan suami, Rosman Yahil akan menjalani pembedahan pada pagi Sabtu. Foto Facebook KIT RUSHUHAIMIN

PENYANYI era 1990-an iaitu Dayangku Intan tidak berasa gentar untuk menjalani pembedahan pemindahan buah pinggang kirinya untuk suami, Rosman Yahil yang dijadualkan pada pagi Sabtu.

Dayang ketika dihubungi mStar Online memberitahu dia sebaliknya berharap apa dilakukan dapat menjadi inspirasi kepada masyarakat agar tidak berasa takut untuk menderma organ mereka kepada insan tersayang atau pesakit memerlukan.

“Hendak kata rasa takut tidak juga… Sebaliknya saat ini saya tiba-tiba rasa rindukan pada ibu saya pula.

“Sebenarnya orang tidak perlu takut untuk menderma organ mereka sekiranya memenuhi syarat ditetapkan kerana pembedahan ini Insya-Allah selamat kecuali dengan kehendak-Nya,” katanya.

Dayang berharap semua mendoakan pembedahannya dan suami berjaya.

ARTIKEL BERKAITAN: Buah pinggang Dayangku Intan lulus untuk dipindahkan pada suami

Dayang dan suami kini sudah dimasukkan ke sebuah hospital swasta di ibu negara sebelum menjalani pembedahan pada pukul 8 pagi Sabtu.

Penyanyi lagu Berpaut Di Dahan Cinta itu memberitahu, pembedahan ke atas dirinya dijangka memakan masa selama tiga jam manakala suaminya akan mengambil masa lebih daripada itu.

“Saya akan masuk ke bilik pembedahan 30 minit awal sebelum suami pula menyusul,” ujarnya.

Dalam pada itu, Dayang berkata, sekiranya pembedahan itu berjaya, suaminya berkemungkinan tidak lagi perlu melakukan rawatan dialisis seperti mana sebelum ini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *