Finas sokong siasatan dana filem ‘dilesapkan’ penggiat seni

Posted on

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo (tengah) bersama Ketua Pengarah Finas, Datuk Fauzi Ayob (kiri) dan Timbalan Ketua Setiausaha (Operasi) Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM), Datuk Dr Mohd Ali Mohamad Nor (kanan). Foto Bernama

PETALING JAYA: Ketua Pengarah Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), Datuk Fauzi Ayub menyambut baik keputusan Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo untuk melakukan penstrukturan semula di semua peringkat bagi mengelak ketirisan dana pada masa hadapan.

Fauzi berkata, penstrukturan tersebut diharap mampu memperkasakan industri perfileman tempatan dan menjadi lebih kompetitif serta berdaya saing.

“Selaras dengan visi menteri yang mahu industri filem menjana kecemerlangan sehingga ke peringkat antarabangsa, Finas optimis untuk terus memperkasakan strategi dan fungsi selaras dengan peruntukan Akta 244, Akta Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Pindaan 2013) sendiri.

“Oleh itu saya menyambut baik kenyataan yang telah dikeluarkan semalam berkaitan ketirisan dana dan mengalu-alukan penstrukturan semula di semua peringkat bagi mengelak ketirisan dana pada masa hadapan,” katanya.

Fauzi mengulas mengenai laporan berita sebuah akhbar tempatan yang membongkar mengenai ketirisan di agensi itu apabila ada dana yang dikeluarkan untuk penggiat filem namun ia lesap begitu sahaja.

Munafik 2 antara filem yang tidak menggunakan dana Finas, namun berjaya mengutip kutipan tertinggi.

Sementara itu, Fauzi memaklumkan pihak Finas melalui bahagian kewangan, unit integriti serta unit audit telah mengambil inisiatif dengan menggerakkan jawatankuasa ‘task force’ untuk menyiasat secara dalaman sekiranya wujud unsur penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa oleh pihak dalaman mereka.

Malah, mereka bekerjasama erat dengan pihak berkuasa bagi terus memastikan Finas bersih daripada sebarang unsur-unsur negatif yang menyalahi undang-undang.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *