Jangan hanya sebut

Posted on
PERDANA Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad. – Foto Saifullizan Tamadi

Jangan hanya sebut, tunjuk bukti – PM

Perdana Menteri berkata, laporan tahunan prestasi kewangan negara menunjukkan kadar hutang ketika itu adalah tidak lebih RM300 bilion atau hanya 27 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

“Ini boleh dilihat dalam laporan tahunan pada 1980-an dan 1990-an. Itu angka sebenar. Kalau boleh tunjuk angka berlainan, saya amat berterima kasih, bermakna saya tidak betul.

“Tetapi saya ada di situ selama 22 tahun, sedikit sebanyak tahulah angka pertumbuhan, hutang dan kewangan negara. Kita tidak pernah hutang RM42 bilion sekali (pinjam).

“Sekarang kadar hutang negara lebih RM1 trilion. Perkataan trilion sebelum ini saya tidak pernah dengar pun tetapi sekarang kita hutang lebih RM1 trilion.

“Kalau RM1 trilion itu kurang daripada RM300 bilion saya tidak tahulah,” katanya dalam nada sinis ketika menjawab soalan tambahan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (BN-UMNO Bagan Datuk) ketika sesi jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Ahmad Zahid membangkitkan kemungkinan Malaysia sekali lagi dibelenggu krisis mata wang negara pada 1980-an dan 1990-an, susulan pengukuhan Yen selepas Malaysia membuat pinjaman mudah dengan Jepun.

Mengulas lanjut, Dr Mahathir mencabar mana-mana pihak yang mempunyai pendirian sedemikian, kononnya Malaysia dibelenggu hutang kerana meminjam daripada Jepun supaya mengemukakan bukti, berbanding hanya membuat tuduhan ‘liar’.

“Bagan Datuk (Ahmad Zahid) ada sebut beberapa angka, tapi tiada bukti bertulis, bentuk angka, tuduh kononnya hutang dulu lebih banyak daripada sekarang,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *