Kejayaan filem aksi beri Darling keyakinan angkat kisah anggota bomba

Posted on

Darling Ngasri meletakkan harapan filem pertamanya, Hero akan diterima baik oleh penonton apabila ia ditayangkan kelak.

KEJAYAAN beberapa filem aksi mengangkat badan beruniform seperti Polis Evo dan Paskal yang pecah panggung memberi keyakinan kepada penerbit filem Hero untuk tampil dengan kisah mengenai anggota bomba dan penyelamat.

Penerbitnya, Darling Ngasri memberitahu kisah mengenai golongan itu yang jarang diketengahkan kepada umum menarik perhatiannya namun ia bukan tugas mudah kerana perlu memastikan jalan cerita dan konsep ditampilkan dapat memenuhi cita rasa penonton.

“Apabila tengok trend filem aksi badan beruniform yang laris di panggung memang menjadi pemangkin semangat untuk buat genre sama tetapi ia sebenarnya bukan mudah.

“Sebagai penerbit saya kena pastikan jalan ceritanya perlu menarik dan untuk filem ini sahaja kami merombak lapan kali skrip sehingga betul-betul puas hati selain pemilihan barisan pelakon yang tepat.

Barisan pelakon filem Hero ketika berada di set penggambaran.

“Bagi menyuntik kelainan kami tampil dengan genre aksi komedi agar ia tidak terlalu berat namun masih sarat dengan elemen aksi dan mendebarkan,” katanya.

Darling ditemui ketika berada di set penggambaran filem itu yang diadakan di Balai Bomba Pusat Jalan Hang Tuah di sini, Selasa lalu.

Filem terbitan NS Star Sdn Bhd dengan kerjasama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta Kementerian Perumahan Kerajaan Tempatan (KPKT) itu turut menampilkan barisan pelakon seperti Hisyam Hamid, Mark Adam, Bell Ngasri, Syafiq Farhain, Elisha Sandha, Tash Yong dan Datuk Jalaluddin Hassan.

Diarahkan oleh Azizi Chunk Adnan, Hero mengangkat kisah suka duka mengenai anggota bomba dan ia dijangka menemui penonton pada tahun hadapan.

Mark Adam dan Hisyam Hamid memegang watak utama.

Dalam pada itu, Darling berkata, dia tampil dengan filem pertamanya kerana merasakan sekarang adalah masa paling sesuai memandangkan dia terlebih dahulu menimba pengalaman menerbitkan drama sejak 2003.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *