Makan tak menentu dan kurang rehat punca Syafiq Farhain hilang berat badan

Posted on

Berat badan Syafiq Farhain turun sebanyak lima kilogram.

PENYANYI Syafiq Farhain memberitahu berat badannya turun sebanyak lima kilogram sejak menyertai program Big Stage yang berakhir bulan lalu.

Syafiq, 24, berkata, penurunan itu mungkin disebabkan jadualnya yang ketat dengan aktiviti rakaman dan latihan sehinggakan dia tidak cukup tidur selain dia juga tidak menjaga pemakanannya.

“Ramai juga menegur susuk tubuh saya kelihatan kurus dan jujurnya saya tidak lakukan apa-apa pun untuk mengurangkan berat badan apatah lagi untuk bersenam kerana tiada masa.

“Mungkin disebabkan saya tidak cukup rehat dan makan pun tidak menentu kerana sejak menyertai Big Stage jadual saya memang padat,” katanya.

Jadual padat menyebabkan Syafiq kurang berehat.

Syafiq ditemui ketika berada di set penggambaran filem pertama lakonannya, Hero yang diadakan di Balai Bomba Pusat Jalan Hang Tuah di sini, Selasa lalu.

Filem terbitan NS Star Sdn Bhd dengan kerjasama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta Kementerian Perumahan Kerajaan Tempatan (KPKT) itu turut menampilkan barisan pelakon seperti Hisyam Hamid, Mark Adam, Bell Ngasri, Elisha Sandha, Tash Yong dan Datuk Jalaluddin Hassan.

Sebuah filem aksi komedi, Hero mengangkat kisah mengenai anggota bomba dan ia dijangka menemui penonton pada tahun hadapan.

Tambah Syafiq, sejurus selepas program itu berakhir dia terus memasuki set penggambaran filem tersebut sehinggakan tiada masa untuk berehat.

“Habis sahaja Big Stage memang saya terus masuk set pula jadi masa untuk diri sendiri itu memang kurang.

Barisan pelakon filem Hero ketika berada di set penggambaran.

“Sebelum ini berat badan saya 60 kilogram tetapi sekarang cuma 55 kilogram sahaja… Mungkin ada baiknya juga, tidak perlu saya bersenam untuk kurus,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *