Marah betul Naz, ustaz ‘syaitan’ liwat pelajar

Posted on

Naz terkilan dengan isu ini dan meminta pusat tahfiz mendaftarkan pusat pengajian mereka. Foto Instagram @nazrudinrahman

PENGACARA Nazrudin Habibur Rahman atau Naz terkilan apabila membaca berita mengenai pelajar tahfiz diliwat oleh pengetua di sebuah pusat tahfiz di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Menurut Naz, 49, kejadian itu tidak sepatutnya berlaku di sebuah pusat pengajian agama dan berpendapat individu yang melakukan perbuatan terkutuk itu adalah syaitan bertopengkan manusia.

“Saya betul-betul terkilan dengan apa yang berlaku, ibu-bapa hantar anak untuk jadi pakar agama tapi lain pula yang jadi. Seorang mudir atau guru agama harus berakhlak tinggi tapi rupa-rupanya syaitan bertopengkan manusia.

“Mereka ini patut diberi hukuman setimpal dengan apa yang mereka lakukan, apa erti serban yang dipakai dan bercakap tentang agama tapi melakukan benda tidak bermoral begini,” katanya kepada mStar Online.

Sebelum ini, pengacara program Jalan-Jalan Cari Makan ini ada berkongsi luahan mengenai isu tersebut di Twitter miliknya dan diulang kicau lebih 3,000 kali.

Luahan Naz mendapat perhatian pengguna laman Twitter.

Pada Ahad, seorang guru agama yang merupakan pengetua sebuah pusat tahfiz di Kepong, ditahan polis kerana dipercayai meliwat sembilan pelajar pusat tahfiz berkenaan.

Guru agama itu dikatakan melakukan perbuatan terkutuk melibatkan pelajar berusia antara lingkungan 11 hingga 16 tahun.

Sementara itu, Naz turut bersetuju dengan tindakan kerajaan yang ingin menutup pusat tahfiz yang tidak berdaftar sebelum 31 Disember ini.

Dalam masa yang sama, dia turut mempersoalkan sikap pengusaha pusat tahfiz yang enggan mendaftarkan institusi pengajian mereka.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *