Mengaku kurang diundang, Alyah tak tahu digam stesen TV

Posted on

Alyah tidak tahu menahu mengenai dakwaan dia digam oleh stesen televisyen.

ALOR SETAR: Penyanyi Datin Alyah tidak mengetahui dakwaan kononnya dia digam daripada mengadakan sebarang persembahan di stesen televisyen tempatan.

Bagaimanapun kata Alyah atau Noor Hasliah Abu Hassan, 37, dia sedar kurang menerima undangan bagi menjayakan mana-mana program hiburan sejak kebelakangan ini.

“Soal digam oleh stesen televisyen, jujurnya memang saya tidak tahu menahu tetapi kebelakangan ini memang kurang mendapat liputan atau jemputan bagi menjayakan program TV.

“Sebelum ini kalau diundang, saya pasti akan memberikan kerjasama sepenuhnya kerana belum pernah lagi saya tolak sekiranya dipanggil untuk muncul dalam mana-mana program,” katanya.

Alyah ditemui pada majlis pelancaran single terbaharunya, Jutaan Purnama yang diadakan di Keriang Hill, Alot Setar di sini, Khamis.

Alyah bersama Pengarah Urusan Warner Music Malaysia & Singapura, Darren Choy ketika pelancaran single Jutaan Purnama.

Tunku Temenggong Kedah, Tunku Puteri Intan Safinaz Sultan Abdul Halim turut berkenan hadir melancarkan single berkenaan.

Alyah kononnya tidak mendapat undangan di stesen televisyen tempatan kerana dikatakan terkena tempias akibat kelantangan suaminya Datuk Ramli MS mengkritik beberapa stesen TV sebelum ini.

Dalam pada itu, Alyah berkata, dia tidak mengetahui punca sebenar mengenai situasi menimpanya itu sejak awal tahun ini.

Namun katanya, dia tidak pernah berfikiran negatif terhadap situasi itu namun sekiranya benar dia digam, ia adalah hak sesebuah stesen televisyen.

“Saya mula kurang mendapat undangan sejak awal tahun lagi namun sepanjang tempoh itu saya tidak pernah berfikir negatif dan menganggap ia peluang untuk saya memperbaiki diri.

Alyah memilih melancarkan single terbaharunya di Keriang Hill, Kedah. 

“Jika benar saya digam oleh mana-mana stesen televisyen, saya tidak dapat berbuat apa-apa kerana itu adalah hak mereka,” jelasnya.

Tambah Alyah lagi, walaupun berasa kecewa tetapi dia percaya kepada rezeki dan sekiranya tidak diundang maka dia menganggap itu bukan rezekinya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *