‘Munafik 2’ lebih berat, berani dan terus cemerlang

Posted on

Bekas pemenang Pelakon Wanita Terbaik FFM dua kali, Maya Karin memberikan lakonan cemerlang sebagai Sakinah.

Filem: Munafik 2

Pengarah: Syamsul Yusof

Pelakon: Syamsul Yusof, Maya Karin, Nasir Bilal Khan, Datuk Fizz Fairuz, Mawi, Datuk Rahim Razali dan Ku Faridah

Genre: Seram

Durasi: 105 minit

Pengedar: Skop Productions Sdn. Bhd.

Tarikh Tayangan: 30 Ogos 2018

MAHU atau tidak, suka ataupun tidak, harus diakui bahawa filem kesembilan arahan Syamsul Yusof, Munafik yang ditayangkan pada tahun 2016 telah berjaya mencipta fenomenanya sendiri.

Bukan hanya menjadi filem terlaris terbitan Skop Productions dengan kutipan sebanyak RM17.04 juta sebelum rekod itu dipadam oleh filem Abang Long Fadil 2 (RM18.15 juta) arahan adiknya, Syafiq tahun lalu, tetapi Munafik telah menghadiahkan Syamsul dengan tiga trofi Pengarah Terbaik.

Bukan hanya di gelanggang sendiri dengan dua pengiktirafan masing-masing di Festival Filem Malaysia Ke-28 dan Anugerah Skrin 2016, tetapi Munafik juga telah berjaya meletakkan nama Syamsul di peringkat antarabangsa apabila diiktiraf sebagai Pengarah Terbaik Festival Filem Asia Pasifik Ke-57.

Apabila nama Syamsul sudah dijulang dan diangkat sedemikian rupa, pastinya tekanan dan harapan yang diletakkan di bahunya juga tinggi lebih-lebih lagi filem susulannya, Munafik 2 mula membuka tirainya pada 29 Ogos lalu.

Filem ke-10 arahan Syamsul Yusof, Munafik 2 sememangnya lebih baik daripada filem Munafik.

Seperti mana peminat filem lain, penulis juga mahu melihat sendiri bagaimana Syamsul mempamerkan kehebatannya dalam menggarap cerita baharu menerusi Munafik 2 selepas filem Munafik beraksi cemerlang sebagai salah sebuah karya tempatan terbaik yang pernah dihasilkan.

Lazimnya, untuk menghasilkan filem sekuel bukan mudah. Itu adalah resmi dalam mana-mana industri perfileman sekalipun. Apatah lagi, filem pertama sudah diletakkan pada satu tahap tertinggi, maka, untuk mana-mana filem susulan untuk menyamai atau menjadi lebih baik lagi adalah sukar.

Namun, dalam konteks Syamsul selaku bekas pemenang Pengarah Terbaik Festival Filem Malaysia (FFM) sebanyak tiga kali ini, anak muda berusia 34 tahun ini memang selayaknya diberikan pujian kerana telah mempersembahkan Munafik 2 yang layak diletakkan sebagai salah sebuah karya terbaik tahun ini.

Bahkan, penulis berpendapat bahawa Munafik 2 telah bergerak ke satu tahap lebih tinggi dalam konteks penceritaan dan garapan yang lebih berat dan berani lantas menjadikan ia sebagai sebuah karya seram yang memiliki nilai estetika tersendiri dan bukan hanya sekadar mahu menakut-nakutkan penonton tanpa sebab.

Penulis yang menonton sendiri Munafik 2 beberapa hari lalu turut merasai impak yang terhasil daripada cerita dan lakon layar yang juga ditulis sendiri oleh Syamsul yang tidak hanya berpaksikan kepada satu cerita semata-mata.

Daripada satu plot cerita itu, Syamsul bijak mengolah dan bermain dengan beberapa sub plot yang dijalin dengan baik lalu membentuk sebuah cerita yang membangkitkan rasa seram dengan cara sendiri.

Seram yang terhasil itu bukan hanya pada visual tersurat semata-mata tetapi disertai dengan dialog dan kata bual terutama pada babak-babak yang berbicara tentang soal agama itu sebenarnya adalah seram yang sejati dan jitu.

Salah satu babak filem ‘Munafik 2’ yang kini sedang ditayangkan di pawagam Malaysia, Singapura dan Brunei.

Impak yang dirasai itu bukan hanya membuatkan penulis meremang bulu roma tetapi dua kali air mata bergenang dek keinsafan yang terbit dalam hati apabila memikirkan tentang diri dan peranan kita sebagai hamba Allah SWT.

Entah mengapa apabila menonton babak-babak dramatik dan keseraman yang dirasai melibatkan watak Sakinah (lakonan Maya Karin) dan Ustaz Adam (Syamsul) yang dirasuk itu mengingatkan penulis kepada filem klasik Hollywood, The Exorcist (1973) arahan William Friedkin.

Ketakutan itu tidaklah menyamai perasaan sewaktu menonton The Exorcist tetapi mood itu tetapi dirasai penulis lalu membuatkan penulis berfikir sejenak bahawa sebenarnya anak tempatan mampu untuk melakukan sesuatu yang di luar kotak tanpa perlu menjadi klise serta memperbodohkan penonton.

Disebabkan itu, penulis harus katakan juga bahawa Syamsul adalah pembikin filem dalam generasinya yang bijak terutama dalam konteks dakwah dan Islamik yang mana ia bukanlah sesuatu yang dibikin asal boleh dan hanya berpaksikan kepada elemen kosmetik semata-mata.

Sebaliknya untuk membikin sebuah filem Islamik dan dakwah, peranannya harus diterokai sehingga ke dasar dalam usaha untuk membuatkan penonton juga merasai kesannya. Kata orang, biarpun tidak banyak tetapi asalkan sedikit pun jadilah kerana filem merupakan medium yang mudah untuk berbuat demikian.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *