Padam rekod Najib

Posted on
SYED Saddiq Abdul Rahman. – Foto Zunnur Al Shafiq

Syed Saddiq padam rekod Najib

Pentas urus tadbir kerajaan sebelum ini menyaksikan rekod pemimpin paling muda dalam Kabinet disandang Datuk Seri Najib Razak ketika dilantik sebagai Timbalan Menteri Tenaga, Telekomunikasi dan Pos pada 1978, ketika beliau berusia 25 tahun sebelum memegang jawatan Menteri Belia dan Sukan ketika berumur 33 tahun.

Mengulas pelantikan itu, Syed Saddiq yang juga Ahli Parlimen Muar berkata, penampilan beberapa pemimpin muda dalam barisan Kabinet membuktikan corak pentadbiran kerajaan secara menyeluruh, selain sentiasa mengutamakan merit dalam idea dan sumbangan tanpa mengira umur serta latar belakang.

Dilantik menyandang jawatan Menteri Belia dan Sukan, Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu berkata, komitmen dicerminkan kerajaan adalah bukti usaha untuk mengangkat suara anak muda akan terus dihargai.

“Saya baru saja selesai mengangkat sumpah di Istana Negara sebagai anggota Jemaah Menteri dan bakal menggalas tugas sebagai Menteri Belia dan Sukan bagi penggal ini.

“Saya memanjatkan rasa penuh syukur dan takzim ke hadrat Ilahi atas pelantikan ini, sesungguhnya ia adalah amanah yang amat berat untuk saya pikul, namun ia berupaya digalas serta percaya kejayaan akan diraih bersama-sama seluruh anggota Kementerian Belia dan Sukan sebagai satu pasukan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Tuntas menggariskan tumpuan dalam menerajui kementerian, Syed Saddiq berkata, pelbagai dasar dan rancangan untuk belia akan diangkat, selain dijadikan hala tuju Malaysia bagi memastikan golongan muda menjadi peneraju utama agenda pembangunan negara.

Katanya, kerajaan sentiasa menaruh kepercayaan bahawa nasib dan masa depan belia harus ditentukan oleh mereka sendiri, sekali gus menyaksikan ruang serta peluang secukupnya disediakan dalam membuktikan kemampuan golongan berkenaan sebagai penggerak hala tuju negara.

“Kerajaan juga berazam untuk memperjuangkan sukan tempatan secara lebih menyeluruh dan adil, malah Malaysia akan terus menempa kejayaan dalam pelbagai bidang seperti aspek pengurusan, kemudahan dan hal ehwal atlet yang menjulang kejayaan di arena tempatan dan antarabangsa.

“Nasib golongan atlet akan terus dibela dan dijaga,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *