‘Paskal The Movie’ angkat standard filem aksi tempatan

Posted on

Amerul Affendi (bertopi) memegang watak lanun bernama Rudi.

Filem: Paskal The Movie

Pengarah: Adrian Teh

Pelakon: Hairul Azreen, Ammar Alfian, Taufiq Hanafi, Jasmine Suraya Chin, Gambit Saifullah, Nam Ron, Hafizul Kamal, Amerul Affendi dan Henley Hii.

Genre: Drama/Aksi

Durasi: 115 minit

Pengedar: GSC Movies

Tarikh Tayangan: 27 September 2018

UNTUK membikin sebuah filem aksi yang benar-benar meninggalkan impak kepada penonton memang bukan mudah waima dari mana-mana negara dan bahasa sekalipun.

Tunjang utama kepada sebuah filem aksi pastinya adalah cerita yang mengesankan, teknik suntingan, sinematografi dan kemudiannya ditambah dengan elemen kosmetik untuk menghidupkan karya berkenaan.

Tidak cukup dengan itu, markah bonus untuk kesempurnaan sesebuah filem aksi adalah dari aspek lakonan dan pemilihan tunjang utama yang menerajui filem berkenaan.

Mahu atau tidak, apabila memperkatakan tentang filem tempatan, perasaan skeptikal sebelum menonton sesebuah karya itu pasti akan timbul. Bukan mahu menjadi prejudis, tetapi itu adalah normal bukan?

Begitu juga dengan pandangan awal penulis terhadap Paskal The Movie atau Paskal yang baru sahaja membuka tirainya pada 27 September lalu dengan kutipan sebanyak RM7.5 juta dalam masa empat hari tayangan.

Sementelah, tidak banyak filem aksi yang mengenengahkan fungsi total badan beruniform di negara ini sebagai plot utama cerita dan lebih mengutamakan kisah cinta (baca: filem Qhaliq), maka, penulis meletakkan harapan tinggi untuk melihat Paskal menjadi sebuah filem yang berbeza.

Ternyata, pandangan skeptikal penulis di awalnya tidak semena-mena berubah sebaik sahaja 10 minit pertama Paskal ditayangkan. Itu juga adalah normal kerana secara psikologinya, 10 minit pertama itu dianggap penting dalam menentukan tumpuan penonton untuk terus menonton filem hingga tamat.

Cerita Paskal bermula dengan cukup baik dalam menterjemahkan dan memberikan gambaran kepada penonton tentang perjalanan dan fokus utama filem arahan Adrian Teh Kean Kok atau Adrian Teh (King of Mahjong, 2015) ini.

Seperti mana yang penulis katakan di awal tadi, penceritaan dan garapan yang baik akan menentukan hala tuju sebuah filem aksi itu dengan memberikan tumpuan kepada perkara yang tepat.

Dalam konteks Paskal, semuanya berada dalam keadaan yang sempurna. Ini bermaksud ia memiliki premis cerita yang baik dengan susunan yang dilakukan secara teliti dan kemas.

Aksi Hairul Azreen sebagai Arman Rahmat sewaktu di lokasi penggambaran filem Paskal The Movie.

Sudah pun judulnya adalah Paskal. Justeru, setiap momen dalam cerita ini adalah tentang kisah Pasuka Laut Khas yang merupakan sebuah pasukan khas bawah Tentera Laut Di Raja Malaysia (TLDM) yang barangkali tidak diketahui ramai.

Penulis melihat pemilihan cerita tentang Paskal adalah tepat dan dengan apa yang telah dipersembahkan dalam filem ini, sedikit sebanyak ia membuka mata dan minda masyarakat untuk melihat kehebatan pasukan ini dalam konteks yang lebih besar.

Tidak sedikit pun momen dalam filem Paskal dibazirkan begitu sahaja dengan subplot yang tidak berkenaan dan menjejaskan jalan ceritanya.

Penulis tidak menafikan jika dilihat secara zahirnya, cerita Paskal adalah sesuatu yang normal dan sudah ditonton sebelum ini menerusi filem-filem terbitan antarabangsa walaupun ia bukanlah secara menyeluruh.

Tetapi daripada cerita yang biasa itu, olahan dan garapan yang kemudiannya mencipta sebuah lakon layar yang berkesan itulah yang menjadikan Paskal sebuah karya yang berada dalam kelas tersendiri untuk sebuah filem aksi.

Penghasilan Paskal dibuat dengan begitu menyeluruh dan benar-benar mengeskploitasi unit khas itu secara maksimum dalam memberikan pendedahan kepada masyarakat tentang fungsi sebenar mereka.

Watak antagonis bernama Jeb memang layak dan cocok untuk Ammar Alfian.

Mungkin pasukan berkenaan dianggap sebagai tidak popular di mata masyarakat jika hendak dibandingkan dengan pasukan beruniform atau unit khas lain tetapi dengan kelahiran Paskal, ia telah meletakkan satu standard yang tinggi.

Plot utamanya bergerak dari satu babak kepada satu babak dengan disulami subplot yang penulis sifatkan kena dan memang diperlukan untuk melengkapkan lagi jalan ceritanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *