Saleem cedera kemalangan, motosikalnya dilanggar kereta dari arah belakang

Posted on

Saleem terlibat dalam kemalangan apabila motosikal yang dipandunya dilanggar sebuah kereta dari arah belakang.

PENYANYI terkenal Saleem terlibat dalam kemalangan jalan raya pada Khamis selepas motosikal yang ditunggangnya dilanggar sebuah kereta dari arah belakang ketika vokalis kumpulan Iklim itu keluar membeli barang.

Isterinya, Julia Bachok ketika dihubungi mStar Online memberitahu kejadian itu berlaku berdekatan rumah mereka di Bandar Mahkota Cheras sebelum Saleem dibawa ke Hospital Kajang untuk mendapatkan rawatan.

“Ketika kejadian saya tidak berada di rumah kerana sedang membeli baju untuknya pakai di majlis bertemu peminat sebelah malam di Shah Alam.

“Dia ada beritahu hendak keluar sebentar beli barang dan tidak sangka pula Saleem kemalangan.

Status mengenai Saleem yang ditularkan di Facebook sejak semalam.

“Panik saya dibuatnya apabila ada orang beritahu suami kemalangan dan segera saya bergegas ke hospital,” katanya.

Julia berkata demikian sebagai mengesahkan khabar angin mengatakan Saleem kemalangan jalan raya di laman sosial.

Menerusi status yang tersebar itu, Saleem dikatakan berada di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Kajang selain berada dalam keadaan koma.

Maklumat tersebar itu mendakwa impak kemalangan berkenaan menyebabkan tulang rusuk penyanyi lagu Suci Dalam Debu itu tertusuk ke bahagian paru-parunya.

Dalam pada itu, ditanya mengenai keadaan sebenar Saleem, Julia berkata, suaminya berada dalam keadaan stabil namun dia enggan mengulas lanjut mengenainya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *