‘Saya dianggap Jerman bila menang, tapi pendatang bila kalah’

Posted on

‘Saya dianggap Jerman bila menang, tapi pendatang bila kalah’

Mana-mana pemain bola sepak yang sudah mewakili negaranya 92 kali dan menjaringkan 23 gol untuk membawa pasukannya menjulang piala paling berprestij dalam dunia sukan seharusnya layak mendapat penghormatan terutamanya daripada penyokongnya sendiri.

Namun, Mesut Ozil yang menjadi sasaran media susulan persembahan buruk Jerman dalam Piala Dunia 2018 terpaksa membuat keputusan drastik untuk berhenti mewakili negaranya.

Keputusan itu dibuat Ozil susulan kecaman dan layanan buruk yang diterimanya bukan saja dari media dan penyokongnya, tapi juga daripada pihak pengurusan Persatuan Bolasepak Jerman (DFB) sendiri, termasuk presidennya Reinhard Grindel.

Lebih malang, pemain berketurunan Turki itu turut menerima bahana kebencian daripada sikap perkauman pengkritiknya.

Dalam menjelaskan perkara itu, Ozil barangkali telah mengeluarkan kenyataan paling keras pernah dikeluarkan oleh seorang ahli sukan dalam mengecam perkauman selepas kenyataan petinju Mohamad Ali yang enggan direkrut menyertai perang Vietnam.

“Di mata Grindel dan penyokongnya, saya orang Jerman apabila pasukan kami menang, tapi saya pendatang bila kami kalah,” kata pemain berumur 29 tahun itu.

Kenyataan Ozil itu dibuat ketika perbahasan politik Jerman bertemakan 1.6 juta imigran yang masuk ke negara itu sejak pertengahan 2014 yang merupakan modal utama kempen politik dalam mencabar dasar Jerman berhubung Isu berkenaan.

Ozil dan rakan sepasukannya, Ilkay Gundogan, yang juga berketurunan Turki dikecam penyokong Jerman dalam perlawanan pemanasan Piala Dunia di Rusia sebelum ini.

Kecaman itu dibuat ke atas Ozil dan Gundogan kerana mengunjungi Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan Mei lalu.

Mengulas gambarnya dengan Erdogan dalam pertemuan itu, Ozil berkata ia bukanlah dibuat atas dasar politik atau pilihan raya namun sebagai menghormati pemimpin negara asal keluarganya.

“Seperti ramai orang, keturunan keluarga saya berasal lebih daripada satu negara. Ketika membesar di German, latar belakang keluarga masih mempunyai akar yang kuat di Turki.

“Saya ada dua hati, satu sebagai orang Jerman dan satu sebagai orang Turki,” katanya.

Ayah Ozil, Mustafa yang berkongsi kekecewaan Ozil turut menyifatkan tindakan Ozil bergambar dengan Erdogan adalah atas dasar sopan.

“Ozil seorang yang pendiam dan pemalu, bagaimana dia boleh menolak permintaan seseorang seperti Erdogan untuk bergambar dengannya?” kata Mustafa.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *