Tony Eusof sangka kerjaya tamat selepas masuk penjara

Posted on

Tony Eusoff pernah menyangka karier seninya akan terkubur ekoran kontroversi dia dipenjarakan sekitar dua tahun lalu.

PELAKON Tony Eusoff pernah menyangka kerjaya seninya sudah berakhir ekoran kontroversi dia dipenjarakan atas kesalahan memiliki dadah di Singapura dua tahun lalu.

Tony atau Anthony Joseph Anak Hermas Rajiman, 40, berkata, ketika itu dia reda akan digam oleh stesen televisyen serta syarikat produksi namun dia terkejut kerana perkara sebaliknya yang berlaku.

“Terus terang saya katakan, saya ingatkan tak akan ada lagi produksi yang akan panggil saya berlakon dan saya fikir kerjaya saya sudah terkubur.

“Tetapi saya tidak salahkan sesiapa sekiranya perkara itu berlaku kepada saya (digam) kerana saya perlu menanggung atas perbuatan sendiri.

“Bagaimanapun saya terkejut juga kerana selepas dibebaskan tawaran yang datang lebih banyak berbanding sebelum saya dipenjarakan,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Lima Bulan Meringkuk Dalam Penjara, Tony Eusoff Serik

Tony bergandingan dengan Rita Rudaini dalam drama web Projek Dapat Baby. 

Tony ditemui pada majlis pelancaran drama web, Projek Dapat Baby oleh Najwa Medispa yang diadakan pada Khamis lalu.

Siri lapan episod itu turut menampilkan barisan pelakon seperti Rita Rudaini, Azhar Sulaiman, Louisa Chong, Aida Khaleeda dan Fikry Ibrahim.

Ia bakal menemui penonton di YouTube pada 30 Julai ini pada setiap Isnin dan Selasa bermula 1 petang.

Tambah Tony, dia menyifatkan perkara itu sebagai rezekinya dan berjanji tidak akan mensia-siakan peluang diberikan kerana dia menyintai bidang lakonan.

“Saya tidak pernah terfikir untuk berhenti berlakon… Kerjaya ini adalah cinta saya dan kalau boleh saya mahu terus berlakon sehingga tua,” jelasnya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *