Tunai permintaan Mahadzir disemadi sebelah pusara ibu

Posted on

Allahyarham Mahadzir Lokman meninggal dunia pada pagi Jumaat.

KUALA LUMPUR: Jenazah Allahyarham Datuk Mahadzir Lokman selamat disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara di sini pada Sabtu.

Allahyarham yang lebih dikenali sebagai Datuk Dale disemadikan di samping pusara ibunya, Allahyarham Datin Nina Khadijah Abdul Rahman yang meninggal dunia pada Oktober 2013.

Adik bongsunya, Ida Lokman, 57, berkata, ia adalah hasrat dan permintaan Allahyarham yang terlalu rapat dengan ibu mereka.

“Kita tunaikan permintaan terakhirnya untuk sentiasa dekat dengan ibu.

“Dia jaga ibu dengan baik sepanjang hayat ibu dan kalau boleh dia nak bawa ibu ke semua tempat. Alhamdulillah semua dipermudahkan,” ujarnya kepada mStar Online.


Adik kepada Mahadzir Lokman iaitu Ida Lokman.

Bekas pengacara TV3 itu meninggal dunia pada awal pagi Jumaat. Beliau yang berusia 61 tahun dilaporkan menghembuskan nafas terakhir di sebuah hotel di Tanjung Aru, Sabah kira-kira pukul 6 pagi selepas menunaikan solat Subuh.

Jenazah sebelum itu dibawa ke Masjid Kolej Islam Malaya (UIA), Petaling Jaya pukul 9.30 pagi dari kediamannya di Seksyen 16, Petaling Jaya untuk solat jenazah.

Jenazah tiba di kediamannya itu pukul 4.30 pagi menerusi penerbangan MAS yang berlepas 11.05 malam Sabtu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *